AM > BERITA

Pasangan Muda Bukti Kesedaran Kewangan Buka Jalan Ke Makkah

12/05/2025 05:21 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SEPANG, 12 Mei (Bernama) -- "Dari umur lima tahun lagi mak dah ajar saya menabung, jadi setiap kali hari raya duit raya yang saya dapat terus masuk Tabung Haji.” Demikian pengakuan ikhlas Muhammad Asyraf Redzuan, 30, yang kini dalam perjalanan menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta.

Bagi pasangan ini, rezeki menunaikan haji pada usia masih muda adalah bukti nyata bagaimana celik kewangan dan amalan menabung sejak kecil mampu membuka jalan ke Tanah Suci.

Muhammad Asyraf dan isterinya, Hana Shahira Abdul Halim, 30, baru sahaja melangsungkan perkahwinan awal tahun ini, namun rezeki melangkaui jangkaan apabila Muhammad Asyraf mendapat tawaran menunaikan haji ketika masih bertunang dan Hana Shahira pula berjaya dalam rayuannya selepas mereka bernikah.

“Masa tunang dia (Muhammad Asyraf) dapat panggilan haji. Jadi saya buat rayuan dan selepas bernikah  rayuan saya diterima, syukur sangat,” kata Hana Shahira yang kelihatan terharu ketika ditemui Bernama dan RTM di Stesen Berlepas Jemaah Haji di Hotel Movenpick di sini hari ini.

Pasangan muda itu mengakui mereka tidak pernah menjangka akan dijemput menjadi tetamu Allah secepat ini, namun hasil simpanan Tabung Haji yang dikumpul sejak kecil membolehkan segala persiapan diselesaikan dengan lancar.

“Mak saya yang buka akaun Tabung Haji masa saya umur empat tahun. Setiap kali raya, duit raya memang terus masuk dalam akaun…menabung penting sebenarnya,” kata Muhammad Asyraf yang bertugas di Sabah dan sering berjauhan dengan isterinya.

Bagi mereka, peluang mengerjakan ibadah haji bukan sekadar tuntutan agama tetapi juga simbol penyatuan dan permulaan baharu dalam rumah tangga mereka, di samping mengeratkan lagi hubungan sebagai suami isteri.

Kisah mereka menjadi bukti bahawa usaha menyimpan sejak kecil, walaupun sedikit demi sedikit akhirnya mampu membawa kepada pencapaian besar dalam hidup.

Ia juga satu peringatan bermakna buat ibu bapa dan anak muda bahawa hasrat untuk menuaikan haji mampu jadi kenyataan melalui niat yang ikhlas disertai dengan usaha dan perancangan kewangan yang baik.

“Menabung bukan sekadar simpan duit. Ia simpan harapan…simpan impian,” kata Hana Shahira sebelum meneruskan perjalanan ke Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menaiki pesawat ke Tanah Suci.

Pasangan tersebut antara 355 jemaah daripada Kumpulan Penerbangan (KT) 40 yang berlepas ke Madinah petang ini.

Setakat ini, 12,030 jemaah daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia telah selamat tiba di Madinah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan