AM > BERITA

215,172 Majikan Ditawarkan Diskaun FCLB Sempena Pelanjutan Bulan Pemutihan Hingga 31 Mei - Sim

09/05/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 215,172 majikan yang mempunyai tunggakan faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) ditawarkan pengurangan hingga 50 peratus sempena pelanjutan tempoh pelaksanaan Bulan Pemutihan hingga 31 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pengurangan itu diberikan kepada majikan sedia ada kecuali mereka yang mempunyai kes tuntutan faedah dan pendakwaan serta yang telah menerima Notis Kompaun seperti gagal mendaftar perusahan atau pekerja dan gagal atau lewat melapor kemalangan.

“Tunggakan FCLB membabitkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dianggarkan bernilai RM100 juta. Sebanyak 198 majikan masih mempunyai tunggakan bayaran kompaun sebanyak RM990,000. 

“Peluang ini perlu dimanfaatkan majikan sedia ada bagi mengurangkan beban kewangan. Pesanan saya kepada semua majikan, sila tampil untuk mencarum pekerja anda, selepas 31 Mei, tiada kompromi lagi. Kita akan memastikan sesiapa yang gagal mencarum akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sim berkata pelanjutan tempoh Bulan Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dibuat susulan sambutan menggalakkan dengan peningkatan 40 peratus pendaftaran majikan baharu direkodkan pada April lepas berbanding tempoh sama  pada 2024.

Beliau berkata sebanyak 913 notis FCLB melibatkan 433 majikan baharu bernilai RM226,980 telah dikecualikan dalam tempoh Bulan Pemutihan setakat ini.

Beliau berkata majikan yang gagal mendaftar dan membayar caruman PERKESO boleh dikompaun hingga RM5,000 mengikut kesalahan atau dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat bayar serta dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sim berkata satu garis panduan berhubung dasar pertukaran majikan rentas sektor akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan akan bagi satu garis panduan tetapi setakat ini ia lebih tertumpu untuk sektor formal sahaja,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan memutuskan untuk membenarkan pertukaran majikan pekerja asing merentasi sektor penggajian.

Dasar itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketiga Belas, Bilangan 1 Tahun 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan