AM > BERITA

Penjawat Awam Perlu Menjiwai Prinsip MADANI, Bukan Hanya Sekadar Slogan

09/05/2025 01:56 PM

KOTA KINABALU, 9 Mei (Bernama) -- Penjawat awam harus menjiwai kandungan dalam prinsip MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan dengan tidak menjadikannya sebagai slogan semata-mata, tetapi turut diterapkan dalam akhlak serta budaya kerja.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan pembangunan negeri dan pelaksanaan dasar kerajaan, oleh itu peranan mereka perlu sentiasa disulam dengan integriti, kecekapan dan semangat tanggungjawab tinggi.

“Rakyat sedang memerhati tingkah laku, tutur kata, dan layanan kita kepada rakyat mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Taat Setia MADANI negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hajiji turut menyeru kepada 21,989 penjawat awam negeri dan 126,677 penjawat awam Persekutuan di Sabah agar menjadi pemudah cara kepada rakyat dalam menyampaikan maklumat dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.

Beliau berkata sebagai penjawat awam, menjadi tanggjungjawab mereka untuk menyebarluaskan fakta bahawa kerajaan tidak hanya merancang, tetapi juga melaksanakan banyak inisiatif pembangunan demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

Ketua Menteri juga menzahirkan komitmen teguh untuk terus memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam serta memperluas manfaat pembangunan kepada seluruh rakyat melalui pendekatan Malaysia MADANI.

Di Sabah katanya, terdapat 219 Komuniti MADANI diwujudkan dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif Ehsan@KUSKOP di tiga daerah sasaran iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat selain pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia MADANI.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk mengetepikan perbezaan politik dan terus mengukuhkan perpaduan demi kemajuan negeri.

“Kestabilan politik ialah asas kepada kemakmuran. Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dalam semangat solidariti, mengutamakan perpaduan dan pembaharuan komitmen untuk masa depan Sabah yang lebih gemilang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan