AM > BERITA

MHRS Pacu Infrastruktur Mobiliti Hidrogen - Chang

09/05/2025 01:25 PM

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia mengambil langkah signifikan ke arah masa depan tenaga bersih dengan memperkenalkan Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS), yang berfungsi sebagai pemacu inovasi dalam sektor mobiliti berasaskan hidrogen.

Projek rintis pertama sektor mobiliti hidrogen di Semenanjung Malaysia, MHRS yang menelan kos RM15 juta, terletak di Presint 2 di sini dan mampu membekalkan hingga 50 kilogram hidrogen sehari menerusi stesen berskala kecil itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata MHRS bukan sahaja memacu penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi hidrogen dan sel bahan api, tetapi juga menyokong sasaran negara untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

"Buat masa ini tiada penggunaan kenderaan hidrogen di Malaysia, namun kita ada pembekal kenderaan hidrogen (FCEV). Infrastruktur asas bagi pengisian hidrogen dalam FCEV perlu disediakan bagi mempercepat penggunaan hidrogen sebagai bahan api dalam sektor pengangkutan dan mobiliti," katanya dalam sidang media selepas melancarkan MHRS di sini hari ini.

Projek itu mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad (NMB) dengan kerjasama PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), Sime UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

NMB, sebagai pentadbir aset yang mewakili MOSTI, bertindak sebagai pengendali stesen MHRS dan tapak ujian untuk teknologi baharu bagi meneroka peluang komersial jangka panjang. 

PTVSB membekalkan hidrogen dan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan stesen (EPCC) manakala Sime UMW dan UMWT menyumbangkan tiga kenderaan berkuasa hidrogen Toyota Mirai serta menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan. 

Mengulas lanjut, Chang berkata MHRS berperanan mendidik masyarakat mengenai status semasa teknologi hidrogen dan menunjukkan bahawa hidrogen kini boleh digunakan sebagai bahan api untuk kenderaan.

 "Namun, kita perlu mewujudkan ekosistem dahulu kerana kita bermula dari awal … kita tidak mempunyai pengguna dan bekalan, tetapi kita sasarkan menjelang 2030 sudah ada kenderaan FCEV di jalan raya Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NMB Dr Rezal Khairi Ahmad dalam ucapannya berkata MHRS bukan sahaja menjadi pemangkin kepada infrastruktur tenaga bersih, tetapi juga membuka laluan baharu untuk pelaburan dan inovasi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hidrogen serantau.

"Di bawah kepimpinan MOSTI, NMB akan terus memanfaatkan potensi MHRS sepenuhnya dengan kerjasama erat bersama pihak berkuasa tempatan, pihak berkepentingan dan pemain industri untuk menjadikan Putrajaya sebagai pusat permulaan kepada transformasi mobiliti berkuasa hidrogen negara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan