TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kemenangan Malaysia di mahkamah antarabangsa berkaitan kes tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah adalah satu legasi kejayaan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebagai menteri Persekutuan beliau sememangnya amat berbangga menjadi sebahagian daripada kabinet yang telah memastikan kemenangan berkenaan berpihak kepada Malaysia.
"Bagi pihak pimpinan negeri dan rakyat Sabah, kita ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selepas menghadiri Sesi Pocket Talk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bertajuk Kemenangan Malaysia Dalam Tuntutan Sulu yang disampaikan oleh Pengarah Seksyen Hubungan Antarabangsa BHEUU, JPM Irianie Abdul Wahab, sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Sabah 2025 di sini hari ini
Lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud, sebelum ini telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah, dan pada Mac 2019 sebuah mahkamah di Madrid yang telah melantik Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.
Pada 28 Feb 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak USD14.9 bilion, namun ia merupakan hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.
Pembatalan pelantikan kehakiman Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu dibuat Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021.
Malaysia sebelum ini telah memperoleh beberapa siri kemenangan dalam kes tuntutan kumpulan Sulu antaranya pada November tahun lepas, dengan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan berkenaan.
Kemenangan bersejarah buat Malaysia itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak USD14.9 bilion, tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial