AM > BERITA

LIMA'25: 102 Pesawat, 35 Kapal Tentera Laut Bakal Pamer Kehebatan

07/05/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 102 buah pesawat dan 35 buah kapal tentera laut dari pelbagai negara akan dipamerkan kepada pengunjung Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA'25) dari 20 hingga 24 Mei depan. 

Jurucakap Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang juga penganjur bersama LIMA'25 berkata 64 daripada pesawat itu disahkan setakat ini akan mengambil bahagian dalam pertunjukan udara, melibatkan aksi aerobatik, pertunjukan solo serta acara pembukaan utama termasuk lintas hormat udara.

“Antara segmen pertunjukan udara yang bakal menghangatkan lagi LIMA'25 ialah pasukan aerobatik antarabangsa seperti Russian Knights (Rusia), Jupiter (Indonesia) dan Surya Kiran (India),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jurucakap GEC itu berkata baki 38 pesawat pula bakal dipamerkan secara statik sepanjang pameran berkenaan berlangsung.

“Aset agensi utama yang terlibat seperti milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pesawat statik dari luar negara juga bakal dipamerkan antaranya S-70i Black Hawk milik Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Airbus A400M milik Tentera Udara Jerman, P-72A milik Tentera Udara Itali dan CP-140, pesawat peronda maritim milik Tentera Udara Diraja Kanada (RCAF),” katanya.

Jurucakap GEC berkata pesawat F-15SG, helikopter CH-47D Chinook dan AH-64D Apache milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), Ilyushin IL-76 milik Angkatan Aeroangkasa Rusia serta pesawat Dornier 228 milik Tentera Udara India (IAF) turut menjadi tarikan. 

“Tentera Udara Amerika Syarikat juga tampil megah di pameran itu melalui pesawat seperti F/A-18 Hornet, C-2 Greyhound, C-12 Huron, C-130J Hercules dan MH-60 Seahawk,” katanya.

Bagi perbarisan armada, 34 kapal bakal berada pada posisi bersauh dengan 15 daripadanya milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), lima daripada APMM dan 15 kapal milik tentera laut negara luar.

“Penyertaan Maritim Malaysia pula melibatkan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah, KM Langkawi, KM Gagah, KM Mulia dan KM Perwira,” katanya.

Jurucakap penganjur bersama LIMA'25 itu berkata penyertaan antarabangsa dalam perbarisan armada ini termasuk kapal perang terkemuka dunia seperti ITS Antonio Marceglia (Itali), JS Yahagi (Jepun), TCG Büyükada (Turkiye), RSS Steadfast (Singapura) dan USS Lenah Sutcliffe Higbee (Amerika Syarikat).

“Selebihnya datang dari Pakistan, Indonesia, India, Rusia, Thailand dan Bangladesh,” katanya.

LIMA'25 merupakan anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan GEC yang memberi penekanan kepada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Bertemakan “Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, LIMA'25 yang akan berlangsung di Langkawi, Kedah merupakan antara pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan