AM > BERITA

AI Perkukuh Etika Dan Kecekapan Media Bahasa Cina – Teo 

07/05/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kursus kewartawanan bukan sahaja berupaya meningkatkan mutu kerja, malah dapat memperkukuh amalan kewartawanan beretika, khususnya dalam kalangan pengamal media berbahasa Cina, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata kursus seumpama itu turut menyediakan platform penting untuk memastikan komuniti media Malaysia, terutamanya media berbahasa Cina, kekal relevan, tangkas dan kompetitif dalam landskap penyiaran moden yang semakin dinamik.

Teo berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutup Kursus AI untuk Media: Pelaporan dan Kandungan untuk Pengamal Media Bahasa Cina anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), di sini.

“Kursus ini merupakan langkah penting dalam memperkasa pengamal media dengan ilmu serta kemahiran terkini dalam bidang AI,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sehingga 30 April lepas, IPPTAR telah menganjurkan 16 kursus melibatkan 742 peserta. Bagi tahun ini, IPPTAR menyasarkan pelaksanaan 80 kursus dengan penyertaan melebihi 1,500 peserta, termasuk 24 kursus berkaitan AI.

“Saya yakin, ilmu dan pendedahan yang diperoleh menerusi kursus ini akan memberi inspirasi kepada peserta untuk terus berkembang, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan menjadi ejen transformasi dalam organisasi masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan