AM > BERITA

Pelaksanaan Akta 723 Tidak Bertujuan Jejas Operasi Pengamal Perubatan Swasta

06/05/2025 09:49 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) tidak bertujuan menekan atau menjejaskan operasi pengamal perubatan swasta (GP), menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia sebaliknya langkah ke arah mewujudkan sistem kesihatan lebih telus, adil dan mampan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

"KKM mengambil maklum mengenai perhimpunan aman oleh kumpulan pengamal perubatan swasta yang diadakan pagi ini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan Akta 723 berkaitan penandaan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti.

"Kami sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan inklusif serta sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah dan akan terus diadakan bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan tidak membebankan mana-mana pihak," menurut KKM.

Pihak KKM bersedia meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan dan mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dasar berdasarkan bukti dan data semasa.

"Keutamaan KKM adalah untuk memastikan akses kepada ubat-ubatan yang munasabah dan mampu milik serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara," menurut kenyataan itu.

Pada 30 April, KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan bersama memaklumkan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti akan berkuat kuasa 1 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan