AM > BERITA

Malaysia-Jepun Usul Tubuh Pusat Kerjasama Rentas Sektor Tenaga ASEAN Di Malaysia - PM

06/05/2025 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan Jepun mengusulkan inisiatif penubuhan pusat kerjasama baharu di negara ini, sebagai wahana memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam bidang teknologi, kemampanan dan integrasi tenaga ASEAN.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini Malaysia beriltizam untuk meneraju usaha serantau ke arah masa depan rendah karbon.

“Kita menyambut baik dukungan teknikal dan penyelidikan canggih dari Jepun, termasuk melalui inisiatif seperti Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), terutama dalam menyegerakan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh dan berskala besar.

“Jepun, dengan keupayaan teknologi serta pengalaman mendalam dalam tenaga boleh baharu, bioenergi dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS), telah muncul sebagai rakan yang mampu melonjak usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi tenaga mampan dan lestari,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata usul berkenaan antara perkara dibangkitkan dalam pertemuannya bersama bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, ketika kunjungan utusan khas kepada Perdana Menteri Jepun itu, hari ini.

Anwar yakin melalui kesalinghubungan yang diperluas antara industri, dasar dan komuniti penyelidikan kedua-dua negara, Malaysia akan mampu mempercepat agenda peralihan tenaga, merintis penyelesaian inovatif dan memperteguh daya tahan ekonomi serantau.

“Ini saatnya untuk bekerja ke arah pemerkasaan ekonomi demi warisan yang lestari untuk generasi penerus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan