BACHOK, 5 Mei (Bernama) -- Demi mencapai impian bergelar doktor falsafah, seorang graduan dari Miri, Sarawak sanggup berhabis lebih RM100,000 sepanjang hampir 10 tahun pengajiannya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Perniagaan dan Pengurusan Mohd Idres Rosdi, 59, berkata jumlah itu merangkumi kos pengajian serta perbelanjaan tambang kapal terbang untuk berulang-alik dari Sarawak ke Kelantan sejak memulakan pengajian pada 2014.
Beliau berkata tempoh pengajian menjadi panjang disebabkan pelbagai kekangan, termasuk komitmen menguruskan perniagaan serta sekatan perjalanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
“Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangat saya. Hari ini menjadi detik bersejarah dalam hidup saya kerana akhirnya berjaya merangkul PhD yang telah lama saya idamkan,” katanya kepada pemberita pada Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Ke-14 di sini hari ini.
Mohd Idres berkata kejayaan itu sungguh bermakna apatah lagi dicapai pada usia hampir memasuki fasa emas, dan ilmu yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk memperkembangkan lagi perniagaannya.
Beliau berkata tiada istilah “terlambat” dalam mengejar impian sekiranya seseorang itu memiliki kemahuan dan kesungguhan.
“Apa yang penting, jangan pernah putus asa atau mudah mengalah. Usia bukan penghalang untuk menggapai cita-cita,” katanya.
Beliau berkata gelaran itu juga diyakini akan memudahkannya melebarkan lagi sayap perniagaan dan dapat dikongsi manfaatnya bersama pekerja.
Bapa kepada empat cahaya mata itu turut berkongsi bahawa kesemua anaknya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di beberapa universiti tempatan, mengikut jejak langkahnya.
“Bidang perniagaan mempunyai prospek yang baik untuk menjana pendapatan dan mampu mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial