AM > BERITA

Raja Permaisuri Agong Hasrat Perluas Program BJB Ke Flat Taman Plentong Utama

05/05/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan hasrat untuk memperluas Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) ke Flat Taman Plentong Utama di Masai, Johor dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan penempatan berkenaan.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, program BJB ilham Yang di-Pertuan Agong dan Raja Zarith Sofiah telah menempa beberapa kejayaan melalui projek komuniti perintis yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai sejak 2019.

“Perancangan program BJB bagi kawasan Taman Plentong Utama akan turut menerapkan elemen teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam aktivitinya,” menurut hantaran itu.

Dalam usaha merealisasikan hasrat itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Haffiz Ahmad, Ketua Projek BJB Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rashidi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) Hishamudin Abd Rahim.

Program BJB merupakan sebuah projek komuniti di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan YRZSNJ dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan