KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memperluas pelaksanaan latihan ‘water confidence’ atau keyakinan dalam air, khususnya dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah bagi membendung insiden lemas.
Pengarahnya Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya akan memulakan latihan itu bulan depan dengan melibatkan 70 anggota kadet bomba di Bachok sebelum diperluas ke daerah lain di negeri ini.
Beliau berkata jika sebelum ini kadet bomba hanya menumpukan kepada latihan penyelamatan dan kebakaran, tahun ini latihan ‘water confidence’ akan diketengahkan sebagai persediaan awal menghadapi insiden lemas.
“Menerusi latihan yang akan dibimbing anggota serta pegawai bertauliah, peserta akan didedahkan dengan latihan berenang, cara apungkan diri, perawatan kecemasan dan tindakan awal lain bagi mengelak berlakunya lemas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Gudang Baharu Penyimpanan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) ACGAS Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Farhan Sufyan berkata pelaksanaan latihan itu diharapkan dapat mengurangkan kejadian lemas, khususnya melibatkan remaja memandangkan terdapat 23 kematian akibat lemas direkodkan tahun lepas dengan 15 daripadanya adalah remaja.
“Sejak Januari lepas hingga kini, kita (JBPM Kelantan) telah merekodkan 12 kes lemas termasuk terbaharu di Kuala Krai hari ini yang melibatkan remaja Orang Asli berumur 16 dan 18 tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata pihaknya menyasarkan satu juta penggunaan tong gas keluaran AC Gas yang menggunakan silinder komposit di seluruh negara sepanjang tahun ini.
“Kita juga akan menjalin kerjasama dengan kerajaan untuk memperluas penggunaan tong gas ini memandangkan setiap unit tong gas yang dikeluarkan akan mempunyai unit ID sendiri, sekali gus dapat membantu pihak kerajaan membendung ketirisan tong gas bersubsidi.
“Kita juga sedang mempergiat usaha melantik lebih ramai pengedar di setiap daerah di seluruh negeri. Penghantaran tong gas ini juga hanya mengambil masa sekitar dua jam ke lokasi kediaman pelanggan, terutama isi rumah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial