IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Penceramah dari luar negeri ini perlu mendapatkan tauliah khas yang diperkenankan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum boleh menyampaikan pengajaran Islam.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata syarat yang dikenakan itu mengambil kira fahaman, pengalaman serta ketokohan penceramah berkenaan.
Beliau berkata tauliah khas itu seperti yang diberikan kepada Dr Abdul Somad Batubara atau dikenali Ustaz Abdul Somad bagi membolehkan pendakwah dari Indonesia itu menyampaikan ceramah di Lenggong baru-baru ini.
“Kita tidaklah rigid sangat, jika penceramah itu layak, berkebolehan dan diperkenan Tuanku (Sultan Nazrin), maka tiada sebarang masalah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat (STJ) Seluruh Negeri Perak di sini hari ini.
Saarani berkata tauliah yang diwujudkan itu secara dasarnya berperanan dalam mengawal dan memastikan ilmu agama disampaikan secara sahih dan bermanfaat.
Menyentuh mengenai program hari ini, Saarani berkata sebanyak tiga kitab terpilih iaitu Qalbun Salim, Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas serta Mutiara Minhajul Abidin disumbangkan kepada 740 masjid, SDJ dan STJ seluruh negeri ini.
Beliau berkata kitab karya Ustaz Muhadir Joll serta Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin dipilih kerana bahasanya mudah difahami, kandungan bersesuaian, selain menyentuh aspek akidah serta tasawuf secara seimbang yang boleh digunakan imam-imam untuk menyampaikan ilmu kepada para jemaah setiap hari.
“Usaha ini dilihat mudah, praktikal dan berkesan untuk dilaksanakan selain dapat menangani kekangan terutama untuk menganjurkan majlis ilmu yang lebih besar serta memerlukan perbelanjaan tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial