AM > BERITA

Kerajaan Cadang Wujudkan Perkhidmatan Kereta Api Kargo Terus KL-Bangkok

04/05/2025 07:11 PM

SEREMBAN, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan bercadang mewujudkan perkhidmatan kereta api kargo yang menghubungkan terus Kuala Lumpur ke Bangkok di Thailand bagi meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara sekali gus mengintegrasikan ekonomi ASEAN.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyokong penuh usaha berkenaan yang dijangka dapat dimulakan tahun ini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita mahu melihat perdagangan dalam negara ASEAN bertambah banyak bukan sahaja antara Malaysia-Thailand… ada kesalinghubungan antara Kuala Lumpur-Bangkok, boleh juga ke negara lain sampai ke Laos, China mahupun Asia Tengah.

“Jadi, ini perlu diusahakan bersama oleh Malaysia dan Thailand, lawatan saya ke Bangkok dua hari lepas amat berhasil, saya sempat berbincang dengan Menteri Pengangkutan (Suriya Juangroongruangkit) yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand yang memberikan petanda positif untuk adakan kerjasama erat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang dan pemberian insentif kepada 219 pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2024 Peringkat Parlimen Seremban membabitkan peruntukan sebanyak RM225,000 di sini hari ini.

Mengulas mengenai hasrat kedua-dua negara untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok tahun ini, Ahli Parlimen Seremban itu berkata ia boleh dijadikan produk pelancongan sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri berkenaan antara Malaysia dan Thailand.

“Umpamanya kalau ada pelancong luar seperti Eropah, guna kereta api ke Kuala Lumpur boleh terus ke Bangkok guna kereta api, begitu juga sebaliknya, ia juga lebih murah berbanding kapal terbang.

“Walaupun mungkin ambil masa 15 ke 16 jam, ia beri peluang kepada mereka untuk melihat keindahan kawasan luar bandar sepanjang laluan antara kedua-dua negara, ia merupakan pengalaman yang baik dan produk yang saya yakin dapat menarik ramai pelancong untuk guna mod pengangkutan ini,” katanya.

Jumaat lepas, Loke berkata perkhidmatan kereta api terus dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia akan menggunakan landasan sedia ada yang menghubungkan Bangkok-Padang Besar-Butterworth-Kuala Lumpur.

Beliau berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad dan State Railway of Thailand sudah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan