AM > BERITA

Pertandingan Cerpen Tamil Serlah Bakat, Subur Sastera - Teo

04/05/2025 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pertandingan Menulis Cerpen Tamil 2025 menjadi medan penting dalam mencungkil bakat penulis baharu selain menyerlahkan karya sastera penulis berpengalaman, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Menurutnya pertandingan anjuran Radio Minnal FM bersama Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia itu bukan sahaja menyuburkan ekosistem kesusasteraan Tamil tempatan, malah membuka ruang untuk karya-karya tempatan diketengahkan kepada khalayak lebih luas.

“Beberapa karya terbaik juga akan diterjemah ke dalam bahasa lain menerusi kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), agar dapat dinikmati merentas kaum dan bahasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis Cerpen Tamil 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Nasional FM dan wakil kepada Pengarah Bahagian Program Radio, Jabatan Penyiaran Malaysia Salbiah Mohd Sharif, Pengurus Radio Minnal FM S. Rohiny dan Pengerusi Persatuan Penulis-Penulis Tamil Malaysia P. Mohanan

Pada majlis berkenaan, Teo turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang iaitu R. Dharisyan yang membawa pulang RM3,000 sebagai juara, diikuti M. Kartigesan (RM2,000) di tempat kedua dan P. Athyletchumy (RM1,000) di tempat ketiga.

Bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa dan sastera Tamil, Teo turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada persatuan tersebut.

Katanya dana itu bertujuan mencetak 2,000 naskhah buku cerpen hasil pertandingan untuk diedarkan ke semua sekolah Tamil di seluruh negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu seminar khas akan dianjurkan pada 10 Mei ini hasil kerjasama persatuan itu bersama Perpustakaan Negara Malaysia yang memberi tumpuan kepada penulisan kreatif untuk kanak-kanak dan remaja.

Dalam pada itu, Teo turut menzahirkan tahniah kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang buat pertama kali tersenarai dalam ‘Triton Digital’s Global Streaming Rankers’ bagi Mac 2025, apabila menduduki tempat ke-30 dunia.

Jelasnya, kedudukan itu adalah pengiktirafan antarabangsa terhadap pencapaian RTM sebagai antara penyiar audio digital terkemuka dunia, setanding rangkaian ternama dari Amerika Syarikat, Eropah dan Amerika Latin.

“Saya percaya pencapaian ini adalah hasil daripada pelaksanaan transformasi digital secara strategik menerusi inisiatif seperti RTMKlik yang kini menampilkan akses kepada 36 stesen radio termasuk dua saluran radio penstriman,” katanya.

Menurutnya senarai Global Streaming Rankers diterbitkan setiap bulan oleh Triton Digital sebagai penanda aras kecemerlangan kandungan dan prestasi penstriman audio digital di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan