AM > BERITA

Jasad Wartawan Veteran James Ritchie Disemadikan Pada Selasa

04/05/2025 03:18 PM

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Jasad wartawan veteran James Alexander Ritchie yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Umum Sarawak akan disemadikan pada Selasa. 

Isterinya, Tan Lee Fong berkata upacara pengebumian akan diadakan di Gereja St Thomas di sini.

“Jasad akan dibawa dibawa ke Dewan Serbaguna St Thomas sebaik diserahkan oleh pihak hospital. Upacara penghormatan terakhir dijadualkan pada 7 malam hari ini dan esok manakala pengebumian akan berlangsung pada Selasa pagi,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata doktor mengesahkan James meninggal dunia pada 11.40 pagi semalam akibat serangan jantung.

James, 75, meninggalkan seorang isteri serta seorang anak dan cucu perempuan.

Memulakan kerjaya kewartawanan sebagai wartawan kadet di The Straits Times di Kuala Lumpur ketika berusia 23 tahun, mendiang terus melakar kejayaan sehingga muncul sebagai seorang daripada wartawan terkemuka, khususnya di Sarawak.

Beliau pernah membuat liputan untuk pelbagai peristiwa besar dan kes berprofil tinggi, termasuk serbuan Tentera Merah Jepun ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 1975, penangkapan “Master of Disguise” Lai See Kiaw serta penjenayah Wong Swee Chin atau dikenali sebagai Botak Chin.

Sepanjang kariernya juga, James memegang beberapa jawatan penting dalam bidang kewartawanan dan media, termasuk sebagai wartawan di New Straits Times di Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).

Kecemerlangan beliau dalam bidang kewartawanan dan penulisan membolehkannya menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.

Pada 2024, mendiang menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan