MUKAH, 3 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan jatuh dari Jeti Perlabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Manis di sini semalam ditemukan lemas pagi ini kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Mayat Tan San Belati, 40, dari Rumah Lambai, Sungai Mapai, Kanowit, dijumpai sekitar 8.20 pagi oleh orang awam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis diketuai oleh PBK II (TBK I) Salahudin Mohd Dawood digerakkan ke lokasi sebaik menerima maklumat pada 7.50 pagi.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada 8.50 pagi dan operasi mencari serta menyelamat ditamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan melibatkan lima anggota bomba bersama sebuah bot penyelamat serta kerjasama pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sarawak Coast Guard dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, mangsa dipercayai tergelincir ketika menuruni jeti untuk menuju ke sebuah kapal pukat tunda.
Menurut saksi, Tan yang ketika itu memakai seluar jeans pendek dan baju berkolar biru tidak sempat diselamatkan meskipun rakan sekerja cuba membantu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial