AM > BERITA

Bank Muamalat Anjur 'Kongsi Rezeki Bersama Hero Tanpa Nama' Sempena Hari Pekerja

02/05/2025 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Bagi menghargai wira tidak didendang yang terus komited menyumbang tenaga demi kesejahteraan komuniti, Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), ‘Kongsi Rezeki Bersama Hero Tanpa Nama’.

Program sempena sambutan Hari Pekerja itu menyasarkan petugas kesihatan, anggota keselamatan, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan serta individu yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan kehidupan harian masyarakat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin dalam kenyataan hari ini berkata sebagai institusi perbankan Islam sepenuhnya, bank itu sentiasa memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan sosial yang berteraskan nilai murni.

“Bank Muamalat amat menghargai jasa dan pengorbanan golongan pekerja yang sering kali tidak didendang, namun memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Program ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi juga simbol solidariti dan penghargaan daripada kami kepada mereka,” katanya.

Program itu merupakan inisiatif bersama warga kerja Bank Muamalat yang menyumbang pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan kering, minuman, kelengkapan kebersihan diri dan barangan harian.

Sebagai tambahan, Bank Muamalat turut menyumbangkan lebih 100 pek makanan yang diagihkan kepada penerima manfaat program berkenaan.

“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja Bank Muamalat, tetapi turut menyampaikan mesej bahawa setiap sumbangan, tidak kira sekecil mana pun, mampu membawa sinar dan senyuman kepada mereka yang memerlukan,” kata Khairul.

Selaras dengan usaha itu, Bank Muamalat turut mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengiktiraf sumbangan setiap lapisan pekerja dalam membina negara bangsa yang mampan dan sejahtera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan