AM > BERITA

Hospital Seberang Jaya Jadi Pusat Rujukan Kardiologi, Kardiotorastik Pediatrik Zon Utara

02/05/2025 02:45 PM

BUTTERWORTH, 2 Mei (Bernama) -- Hospital Seberang Jaya di sini akan menjadi pusat rujukan utama zon utara bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik sekali gus mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia berikutan pembinaan blok bertingkat baharu di hospital berkenaan yang berupaya mempercepatkan akses rawatan pakar untuk rakyat setempat.

“Yang mustahak untuk saya tekankan adalah ia (Hospital Seberang Jaya) akan menjadi satu pusat rujukan zon utara bagi bagi perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik Pediatrik sekali gus akan dapat mengurangkan kesesakan di hospital lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Blok Bertingkat Hospital Seberang Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dzulkefly berkata blok tambahan setinggi sembilan tingkat itu meningkatkan kapasiti keseluruhan Hospital Seberang Jaya kepada 729 katil dan 11 dewan bedah yang akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 5 Mei ini.

Beliau berkata fasiliti baharu tersebut juga membolehkan pengoperasian perkhidmatan subkepakaran seperti Otorinolaringologi (ENT), Kardiologi Pediatrik dan Perubatan Rehabilitasi.

Projek berkenaan telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2016 dengan kos kontrak asal bernilai RM371 juta yang dibuat secara reka dan bina

Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan 17 projek pembangunan baharu di Pulau Pinang akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos RM9.42 juta sementara 19 projek sambungan bawah RMK10, RMK11 dan RP4, RMK12 dengan nilai RM155 juta.

Beliau berkata secara keseluruhan 36 projek akan dilaksanakan di Pulau Mutiara itu dengan nilai kos RM165 juta.

Selain itu, beliau berkata beberapa projek klinik kesihatan (KK) di negeri ini juga perlu diberi keutamaan, antaranya KK3 Bandar Tasek Mutiara yang tertangguh hampir setahun dan kini disambung semula serta KK3 Mak Mandin, yang telah diluluskan sejak 2023 tetapi masih belum dimulakan.

“KK2 Bayan Lepas pula, yang mendapat kelulusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kos RM72 juta, perlu menunjukkan kemajuan memberangsangkan,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan