PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat mengenakan apa-apa tindakan denda atau notis terhadap fasiliti kesihatan swasta yang gagal memaparkan harga ubat dalam tempoh tiga bulan penguatkuasaan berbentuk pendidikan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi) Dr Azuana Ramli berkata sebaliknya, Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang mula dikuatkuasakan semalam lebih tertumpu kepada penguatkuasaan pendidikan untuk memastikan semua pihak jelas dengan perintah itu.
"Sepanjang tempoh tiga bulan ini, tiada rancangan untuk mengeluarkan saman. Fasa ini menumpukan kepada pendidikan, waktu untuk advokasi dan memantau kaedah pelaksanaan perintah ini dijalankan oleh pelaksana," katanya pada sesi taklimat inisiatif Pemaparan Harga Ubat di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam.
Bermula semalam, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna. Arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.
Dr Azuana berkata pemantauan berasaskan pendidikan dalam tempoh tiga bulan ini akan diterajui pegawai penguat kuasa KKM Bahagian Perkhidmatan Farmasi yang akan diturut serta pegawai KPDN.
Ditanya sama ada inisiatif itu merupakan satu kawalan harga kos ubat-ubatan, beliau berkata pemaparan harga ubat merupakan suatu inisiatif ketelusan harga jualan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan bukannya satu kawalan.
Sementara itu, Azman menafikan dakwaan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) bahawa pegawai penguat kuasa KPDN telah mengeluarkan notis amaran kepada klinik untuk memaparkan harga ubat dalam masa tiga hari atau berdepan saman, semalam.
"Pasukan penguat kuasa KPDN terlibat dalam operasi pemeriksaan gas memasak dan telur yang secara kebetulannya klinik di kawasan itu dibuka untuk beroperasi, namun pegawai hanya bertanyakan sama ada pekerja ambil maklum tentang pelaksanaan pemaparan harga ubat, tiada apa-apa dokumentasi dikeluarkan daripada pegawai semalam," katanya.
Ditanya sama ada wujudnya manipulasi harga ubat susulan pelaksanaan peraturan baharu itu, Azman berkata beliau yakin tiada manipulasi harga ubat memandangkan industri dalam negara sudah matang dan profesional.
Antara manfaat inisiatif pemaparan harga ubat ialah meningkatkan ketelusan harga, melindungi hak pengguna dan pesakit, meningkatkan kualiti perkhidmatan fasiliti kesihatan, menggalakkan persaingan sihat dalam industri dan menyokong keputusan pengguna serta pesakit berdasarkan maklumat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial