AM > BERITA

Malaysia Suarakan Ketegasan Terhadap Isu Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya - Nik Nazmi

02/05/2025 01:00 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Malaysia terus menyuarakan ketegasan terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya pada Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS COPs) yang berlangsung dari 28 April hingga 9 Mei di Geneva, Switzerland.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata kehadiran ke persidangan itu menunjukkan komitmen tinggi Malaysia terhadap isu kawalan pergerakan rentas sempadan bagi sisa berbahaya dan pelupusannya.

“Ini memandangkan Malaysia antara negara membangun yang aktif dan lantang dalam menyuarakan pendirian serta pandangan di meja rundingan terutama bagi kawalan kemasukan sisa dan bahan berbahaya ke dalam negara.

“Selain itu, mesyuarat ini berperanan sebagai platform pertama negara untuk membawa suara ASEAN, iaitu ASEAN bukan destinasi dunia untuk menghantar sisa toksik, bermasalah dan sukar dikitar semula dari seluruh dunia,” katanya.

BRS COPs merupakan tiga perjanjian utama berkaitan pengurusan bahan kimia dan sisa berbahaya iaitu Konvensyen Basel yang menekankan pengurangan penjanaan sisa berbahaya dan kawalan pergerakan sisa dan bahan kimia berbahaya rentas sempadan

Konvensyen Rotterdam pula mengawal perdagangan antarabangsa bahan kimia berbahaya manakala Konvensyen Stockholm berkaitan kawalan terhadap bahan kimia Persistent Organics Pollutants (Pencemar Organik Berterusan - POPs).

Nik Nazmi berkata pada mesyuarat kali ini, beliau bertukar pandangan bersama rakan sejawat dari negara parti mengenai kesan bahan kimia dan bahan buangan berbahaya yang tidak dikawal secara berkesan serta kesannya kepada perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.

Selain itu, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Qatar iaitu Dr. Abdullah  Abdulaziz Turki Al Subaie untuk membincangkan peluang kerjasama melalui memorandum persefahaman dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim.

“Saya juga berkesempatan mengadakan pertemuan singkat bersama wakil gabungan perniagaan untuk Perjanjian Plastik Global (GPT) dan juga Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) JyotiMathur Filipp bagi membincangkan bagaimana GPT dapat dimuktamatkan dan dilaksanakan secara adil, berkesan dan praktikal,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Basel Action Network (BAN) dan meneruskan komitmen negara untuk membanteras pengimportan haram e-waste dan plastik, khususnya dari negara maju.

Beliau berkata perbincangan bersama Pengarah Eksekutif dan pengasas BAN Jim Puckett menumpukan kepada usaha Malaysia memintas dan menghantar pulang kontena sisa haram serta kepentingan kerjasama dalam perkongsian maklumat dan penguatkuasaan serantau.

Nik Nazmi berkata Malaysia perlu memainkan peranan aktif terutamanya di peringkat antarabangsa bagi menjaga kepentingan negara dalam usaha menangani isu pencemaran alam sekitar khususnya pengawalan pergerakan sisa berbahaya dan pengimportan bahan kimia berbahaya rentas sempadan.

“Komitmen seumpama ini akan memastikan Malaysia terus memberi perhatian khusus kepada isu yang dirundingkan bagi memastikan negara berada di landasan tepat dalam memelihara kesejahteraan manusia dan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan