KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Malaysia menegaskan kepentingan pendekatan kolektif ASEAN dalam mendepani isu serantau termasuk tarif balas Amerika Syarikat (AS) dan krisis di Myanmar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara yang menyentuh kepentingan bersama rantau ASEAN itu adalah antara isu yang dibincangkan menerusi panggilan telefon secara berasingan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) telah mengadakan perbincangan langsung dengan pihak AS baru-baru ini.
“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia turut membawa suara kolektif rantau ini, khususnya membuka ruang rundingan buat semua negara anggota,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Anwar turut menekankan peri pentingnya untuk ASEAN bertindak secara kohesif dalam semangat kesatuan untuk memperkukuh kedudukan bersama dan melindungi kepentingan jangka panjang rantau itu.
Perdana Menteri turut memaklumkan hasil pertemuan beliau dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar Mahn Win Khaing Than di Bangkok baru-baru ini.
Dalam semangat persahabatan serantau, Anwar berkata Brunei, Laos dan Indonesia menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia untuk menggalakkan dialog yang konstruktif demi kestabilan Myanmar serta keamanan seluruh ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial