AM > BERITA

MAIK Salur Bantuan Tambahan RM2 Juta Kepada Yayasan Islam Kelantan

30/04/2025 05:35 PM

KOTA BHARU, 30 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan kewangan tambahan RM2 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada tahun ini bagi menjayakan agenda pendidikan Islam di negeri ini.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata sumbangan tambahan ini diberikan berikutan kekangan kewangan dihadapi YIK.

"Sebelum ini, sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan antaranya bagi menampung emolumen guru-guru dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.

"Dengan tambahan peruntukan kewangan RM2 juta ini menjadikan bantuan keseluruhan kepada YIK berjumlah RM4.5 juta pada tahun ini," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan bersama pelajar Maahad Tahfiz YIK di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, MAIK turut menerima sumbangan zakat wakalah daripada Pelaburan Hartanah Berhad yang akan diberikan kepada asnaf dalam kalangan pelajar YIK yang layak.

Beliau berkata tambahan bantuan kewangan itu juga bertujuan menampung kos perbelanjaan makan dan minum di sekolah-sekolah Maahad Tahfiz YIK serta Maahad Sains Tok Guru yang sejak 2014 hingga tahun lepas, sejumlah RM29 juta peruntukan bantuan telah disalurkan.

"MAIK juga menyalurkan peruntukan bagi tujuan baik pulih bangunan serta pembelian perabot bagi sekolah dan asrama yang memerlukan dengan lebih RM18 juta dibelanjakan untuk tujuan berkenaan sejak 2016 menerusi wang ihsan negeri Kelantan membabitkan 93 sekolah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan beliau berkata MAIK akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat dengan kejadian kebakaran di Kampung Kijang di sini selepas laporan lengkap diperoleh termasuk bantuan sewa rumah.

Pada Selasa lepas, sebanyak 31 mangsa daripada lapan keluarga hilang tempat tinggal selepas lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan