JOHOR BAHRU, 30 April (Bernama) -- Tiga kawasan di Johor Bahru telah dipilih sebagai model perintis bagi memperkasa kesedaran komuniti terhadap aspek integriti menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Integriti Komuniti (CIB).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) itu akan melibatkan komuniti di Bandar Baru Uda, Bandar Dato Onn dan Taman Desa Cemerlang.
Beliau berkata antara objektif program tersebut adalah untuk menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat dalam membentuk komuniti yang beretika serta berdaya tahan terhadap gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“Antara tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap isu-isu integriti yang berlaku di persekitaran mereka.
“Kerjasama erat dengan komuniti ini juga diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan di MBJB,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata komuniti boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MBJB, iaitu platform dalam talian untuk mengurus aduan, pertanyaan serta cadangan daripada orang awam terhadap sistem penyampaian dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu.
Mohd Haffiz turut menegaskan bahawa MBJB sentiasa komited dalam usaha memperkukuh tadbir urus serta ketelusan dalam penyampaian perkhidmatannya.
“Namun kita sedar bahawa tanggungjawab ini tidak boleh dipikul secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, malah komuniti setempat juga.
“Menerusi CIB ini, platform dialog antara komuniti dapat diwujudkan, selain kita dapat mengenal pasti cabaran sebenar di peringkat akar umbi berkaitan integriti, dan seterusnya membina penyelesaian bersama berlandaskan prinsip integriti serta pemilikan bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial