AM > BERITA

Status Capaian Internet Di Negeri Sembilan 99.90 Peratus - Exco

30/04/2025 01:53 PM

SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Status capaian liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan mencapai 99.90 peratus setakat 31 Jan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha mengembangkan tahap kesalinghubungan dan infrastruktur telekomunikasi termasuk di Lenggeng, Nilai.

“Melalui pelaksanaan JENDELA di Lenggeng, sebanyak empat daripada lima menara telekomunikasi siap dibina dan berbaki satu tapak dirancangkan bagi meningkatkan liputan komunikasi di kawasan Kampung Orang Asli (KOA) Lumut, Lenggeng.

“Selain itu, 43 daripada 45 stesen pemancar sedia ada siap dinaik taraf. Bagi pelaksanaan perkhidmatan gentian optik, sebanyak 9,009 daripada 9,108 premis telah dilengkapi dengan kesalinghubungan perkhidmatan gentian optik berkeupayaan gigabit,” katanya.

Mohd Faizal berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Asna Amin (BN-Lenggeng) yang ingin tahu langkah memperbaiki kualiti capaian Internet di Kampung Sg Jai, Kg Rawa dan Kg Tengah Lenggeng.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan pelupusan anjing liar dilaksanakan berikutan haiwan berkenaan memberi ancaman keselamatan kepada penduduk di kawasan majoriti masyarakat Muslim.

“Bagi mengatasi masalah itu, saya cadangkan pelupusan itu melibatkan sebahagian anjing liar sahaja di kawasan majoriti Muslim dan berharap badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan dapat memahami isu membelenggu masyarakat Muslim di beberapa kawasan di negeri ini.

“Saya juga berharap pihak terlibat dalam dewan ini bersetuju kerana bilangan anjing liar terlalu banyak dan perlu dikurangkan,” katanya bagi menjawab soalan Dr G. Rajasekaran (PH-Sri Tanjung) yang mahu penjelasan tentang usaha kerajaan negeri bagi mengatasi isu anjing liar di negeri itu.

Cadangan Aminuddin mendapat sokongan daripada wakil rakyat rakyat kerajaan dan pembangkang termasuk celahan daripada Yew Boon Lye (PH-Chuah) yang menyifatkan isu anjing liar turut mengganggu keselamatan di kawasan masyarakat bangsa lain serta memerlukan penyelesaian sama.

Suhaimizan Bizar (BN-Gemencheh) pula berkata pihaknya sering menerima aduan sama daripada masyarakat Cina yang sering diganggu ketika berjoging di taman.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan