KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua bas di kampus itu bulan lepas, mendapat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM12,629.82.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan Allahyarham mendapat penyelesaian bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda itu melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
“PTPTN dengan penuh rasa simpati melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menziarahi waris kepada mangsa tragedi nahas ini, yang berlaku di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM.
“Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah diadakan di kediaman waris Allahyarham di Felda Chemplak, Labis, Johor yang disempurnakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Zawiah Wan Abu Bakar, yang mewakili Pengerusi dan Pengurusan PTPTN,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir Pengurus Cawangan Pejabat PTPTN Negeri Johor Rafidah Sidek.
PTPTN dalam kenyataan sama memaklumkan waris juga akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 serta sumbangan CSR berupa wang tunai sebanyak RM2,000 serta kotak makanan.
“Tragedi pada 19 April telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya.
“PTPTN menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham. Semoga manfaat yang diterima melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Perlindungan takaful berkelompok, bertujuan melindungi jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari dan meliputi seluruh dunia, sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Borang Permohonan Tuntutan Takaful beserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan ke Pejabat PTPTN Negeri atau cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial