AM > BERITA

JS-SEZ: UTM Proaktif Sedia Bakat Kemahiran Tinggi

29/04/2025 08:51 PM

JOHOR BAHRU, 29 April -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah proaktif dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor baharu yang akan terbentuk menerusi insiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Ali Selamat berkata pihaknya komited memperkasakan graduan dengan kemahiran teknikal, inovasi keusahawanan dan daya saing sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serantau dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi pada masa hadapan.

“Dalam laporan terkini, UTM berjaya mengekalkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus serta mencatatkan kadar bekerja tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.

“Ini juga merupakan hasil daripada hubungan erat yang dijalin bersama pihak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha bagi menyediakan bakat berkemahiran tinggi antaranya dilaksanakan menerusi Festival Kerjaya Premium, Keusahawanan dan Alumni (UTMPearl 2025) yang berlangsung di universiti itu hari ini dan esok.

Menurutnya program berskala besar bertaraf antarabangsa itu bertujuan menemukan pencari kerja dengan usahawan dan alumni serta membuka peluang kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri. 

“Festival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan UTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat nasional malah mampu bersaing di peringkat global. 

“Inisiatif ini turut menyokong kedudukan UTM sebagai peneraju dalam pembangunan modal insan mampan dengan rekod membanggakan dalam kadar kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata festival tersebut menyaksikan penyertaan lebih 70 syarikat terkemuka termasuk dari luar negara selain menawarkan lebih 2,500 peluang pekerjaan bertaraf premium termasuk latihan industri dalam pelbagai bidang.

“Ia sekali gus menjadi platform utama bagi memperkasakan bakat muda, khususnya dalam bidang keusahawanan dan kerjaya, selain memperkukuh hubungan antara universiti, industri dan alumni,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan