KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Lebih 700 ejen dan pengedar Tupperware dari seluruh Sabah menyertai program “Tupperware Get Set Go”, larian yang menawarkan peluang kepada peserta untuk merebut pelbagai barangan syarikat berkenaan secara percuma dalam tempoh seminit.
Pengurus Bahagian Jualan (Ketua Pasukan) Tupperware Brands (M) Sdn Bhd Nash Nasir berkata acara yang berlangsung di sini semalam itu merupakan sebahagian daripada program syarikat untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh ejen dan pengedar di negeri ini.
“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan sempena 60 tahun Tupperware di Malaysia.
“Dalam program itu, ejen dan pengedar diberi peluang berlari selama seminit untuk mengambil pelbagai barangan Tupperware secara percuma untuk dibawa pulang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata program itu juga akan dilaksanakan di Sarawak dan Semenanjung dalam masa terdekat.
“Kita masih mencari tarikh dan lokasi yang sesuai untuk melaksanakan program berkenaan. Apa yang kita mahu semua ejen dan pengedar yang ada di Malaysia gembira serta terus bersemangat memajukan jenama Tupperware di negara ini.
“Kita lihat ramai wanita menyertai acara ini kerana kebanyakannya suri rumah dan apabila mereka menjadi ejen dan pengedar Tupperware, mereka bukan sahaja mendapat komisen tetapi dapat menjana pendapatan,” katanya.
Nash berkata sehingga kini terdapat kira-kira 500,000 ejen dan pengedar Tupperware yang aktif di seluruh Malaysia.
"Daripada jumlah itu, kita mempunyai ramai ejen dan pengedar di Sabah dan Sarawak. Saya lihat banyak peminat Tupperware di Sabah dengan ejen dan pengedar sentiasa bertambah menjadikan pasaran Tupperware di sini paling hebat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Komersial, Malaysia dan Singapura Tupperware Brands James Yeoh berkata untuk memastikan syarikat berkenaan terus berkembang, pihaknya akan mengadakan jerayawara dan program larian di seluruh bandar di Malaysia untuk mempekenalkan Tupperware kepada masyarakat setempat.
"Kita mahu memperkenalkan Tupperware sebagai produk yang boleh digunakan semula dan tahan lama selain kita mahu menggalakkan pengguna memakai barangan yang berkekalan. Syarikat Tupperware banyak tutup di negara lain namun kita di Malaysia masih kekal dan berkembang kerana rakyat di negara ini suka dengan produk Tupperware," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Sabah Kinabalu Pink Ribbon untuk melaksanakan pelbagai program khususnya di Sabah.
"Kita akan mengadakan kempen kesedaran untuk memastikan rakyat tahu betapa pentingnya kitar semula. Selain itu, kita akan mengadakan beberapa lagi program CSR di Sabah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial