AM > BERITA

Tahun Melawat Malaysia 2026: Sabah Mohon Peruntukan Saksama Dalam Pelancongan

29/04/2025 06:17 PM

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, memohon negeri itu diberikan peruntukan pelancongan yang saksama oleh Kerajaan Persekutuan, sebagai persediaan menjana momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Joniston berkata prestasi konsisten Sabah dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa, menunjukkan sumbangan besar negeri itu kepada sektor pelancongan negara.

“Sabah melakukan dengan baik dalam menarik pelawat antarabangsa ke Malaysia dan mencapai sasaran kami untuk kehadiran pelancong pada 2024.

“Semasa kita melakukan persiapan untuk TMM2026, saya berharap Sabah akan menerima sokongan dan peruntukan adil sewajarnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk terus memacu kejayaan pelancongan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata senarai cadangan untuk TMM2026 bagi Sabah telah dihantar dan beliau mengharapkan maklum balas menggalakkan. 

Beliau berkata STB dijangka bertemu dengan menteri MOTAC, untuk berbincang lebih lanjut mengenai cadangan itu tidak lama lagi.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM550 juta bagi menyokong aktiviti pelancongan dan persediaan TMM2026. 

 Sambil menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara kerajaan dan sektor swasta, Joniston  memaklumkan sokongan strategik daripada kerajaan Persekutuan penting untuk membuka potensi penuh pelancongan Sabah.

“Libat urus berterusan memastikan perkara kekal relevan. Kami mahu memastikan perancangan bukan sekadar idea atas kertas, tetapi dibuat dengan input bermakna daripada pemain industri kami,” katanya.

Joniston yang mengiktiraf peranan penting operator pelancongan dan komuniti setempat dalam memacu pertumbuhan pelancongan Sabah juga menggalakkan pihak berkepentingan untuk terus berinovasi serta bekerjasama dengan STB serta badan kerajaan berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan