AM > BERITA

Masyarakat Perlu Memahami Asas Pengurusan Bencana - NADMA

29/04/2025 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Masyarakat perlu mempelajari dan didedahkan dengan ilmu asas pengurusan bencana sebagai persediaan menghadapi sebarang situasi, termasuk banjir.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata penglibatan orang awam dalam pengurusan bencana bukanlah tanda kelemahan agensi kerajaan, sebaliknya ia merupakan amalan standard di peringkat antarabangsa.

“Selama ini, ada tanggapan bahawa jika NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana, ia dilihat sebagai petanda lemahnya sesebuah kerajaan.

“Namun, di peringkat antarabangsa, semua pihak, termasuk orang awam, mempunyai peranan dalam memastikan keselamatan mereka terjamin, sekali gus mengurangkan risiko kerugian atau kerosakan harta,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program ‘Jendela Fikir: NADMA dan Usaha Malaysia dalam Pengurusan Bencana ASEAN’ yang disiarkan Bernama Radio hari ini.

Khairul Shahril berkata NADMA berusaha membudayakan penglibatan orang ramai dan NGO dalam pengurusan bencana dengan menyebarkan kefahaman mengenai kerjasama pelbagai pihak, yang merupakan kunci keberkesanan tindak balas dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Sementara itu, mengulas usaha Malaysia dalam pengurusan bencana peringkat antarabangsa, beliau berkata misi bantuan luar negara khususnya di negara ASEAN banyak meningkatkan kemahiran anggota pasukan bantuan dan penyelamat negara ini.

“Setiap negara mempunyai cabaran dan pendekatan tersendiri. Contohnya, Indonesia menghadapi bencana yang lebih kompleks dan kerap berbanding Malaysia. Melalui misi bantuan, kami dapat mempelajari strategi dan amalan terbaik dalam pengurusan bencana,” katanya.

“Pengalaman di luar negara membantu kami meningkatkan pengetahuan, sekali gus memperkukuh tahap pengurusan bencana dalam negara. Misalnya, berdasarkan frekuensi dan intensiti bencana di Indonesia, mereka lebih berpengalaman, dan ada banyak perkara yang boleh kami pelajari,” tambahnya.

Berhubung penyertaan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01), Khairul Shahril memaklumkan pasukan itu telah menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas proses pengauditan.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya mahu menggunakan kepakaran dimiliki Malaysia bagi meningkatkan mutu anggota penyelamat di peringkat ASEAN, antaranya melalui sesi latihan bersama pasukan penyelamat dari negara serantau.

Katanya langkah tersebut merupakan antara objektif kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke ibu pejabat Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia dan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu, baru-baru ini.

Sebanyak 50 anggota dan pegawai NADMA terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar pada Mac lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan