TELUPID, 28 April (Bernama) -- Kerja-kerja awalan di tiga pakej projek Fasa 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sedang dilaksanakan, termasuk pembersihan tapak dan penyerahan notis kepada pemilik premis atau tanah yang terlibat.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata tiga pakej terbabit adalah WP35, WP34, dan WP33 yang melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 70.2 kilometer di kawasan pantai timur.
"Kita dapat melihat kemajuan terkini kerja-kerja yang dilaksanakan di tiga pakej pembinaan, termasuk penyerahan notis yang sedang dijalankan. Ini melibatkan lebih 150 notis kepada pemilik premis atau tanah. Mereka diminta untuk tidak panik dan boleh menghubungi Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penjelasan.
"Saya yakin projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual. Yang penting adalah kerjasama semua pihak daripada JKR, juruperunding, kontraktor pelaksana serta jabatan berkaitan termasuk Jabatan Tanah dan Ukur," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini hari ini.
Pakej WP33 melibatkan jalan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupos (19.5 kilometer), WP34 dari Kampung Toupos ke Kampung Nabutan (24.2 kilometer), dan WP35 dari Kampung Nabutan ke Ranau (26.5 kilometer).
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut mengingatkan JKR dan kontraktor bertanggungjawab agar meneliti sebarang isu yang boleh menyebabkan risiko kelewatan projek.
Selain itu, beliau turut mengingatkan kedua-dua entiti tersebut untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap jalan sedia ada dilaksanakan dengan baik.
"Walaupun ini adalah tempoh pembinaan Pan Borneo, ini tidak bermakna kita membiarkan keadaan jalan raya sedia ada dalam keadaan yang menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
"Tadi, saya mengarahkan semua kontraktor yang terlibat untuk memastikan mana-mana lubang atau permukaan jalan yang tidak rata segera diperbaiki," katanya lagi.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap pada 2026, manakala Fasa 1B pada 2028, dengan keseluruhan Fasa 1 melibatkan 35 pakej pembinaan jalan raya sepanjang 706 kilometer.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial