AM > BERITA

974 Kes Kemalangan Di Tempat Kerja Dilaporkan Di Perak Sepanjang 2024 - Exco

28/04/2025 02:27 PM

IPOH, 28 April (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak memaklumkan sebanyak 974 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan berlaku sepanjang tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata daripada jumlah itu, 915 kes melibatkan tidak hilang upaya kekal (THUK), 29 kes hilang upaya kekal (HUK), 27 kes kejadian berbahaya serta 15 kes maut.

“… manakala sehingga Mac 2025, sebanyak 296 kes kemalangan pekerjaan dilaporkan ke JKKP Perak, iaitu 283 kes THUK, enam kes kejadian berbahaya, tiga kes HUK serta empat daripadanya adalah kes maut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak 2025 serta Sesi Libat Urus Program Penambahbaikan Aras Kesihatan Pekerjaan Sistematik (SOHELP) di sebuah hotel di sini hari ini.

Sivanesan berkata bagi segmen penyakit dan keracunan pula, 458 kes dilaporkan berlaku sepanjang tahun lepas, dengan masalah hilang pendengaran adalah tertinggi dicatat melibatkan sektor pembuatan atau pengilangan. 

“Bermula Januari hingga Mac tahun ini, 158 kes penyakit pekerjaan dilaporkan. Statistik ini menunjukkan bahawa masih banyak ruang untuk penambahbaikan, yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten,” katanya.

Selain itu, Sivanesan berkata 25 kes kemalangan di tempat kerja dikenakan tindakan perundangan di mahkamah dengan jumlah denda adalah RM324,400.

Beliau berkata tindakan yang dilakukan itu membuktikan bahawa JKKP sentiasa komited dalam memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan di semua peringkat industri.

Dalam perkembangan lain, 10,460 individu terdiri dalam kalangan warga emas di Perak selesai menerima suntikan vaksin influenza sehingga 24 April lepas.

“Mana-mana warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang belum mendapatkan suntikan berkenaan boleh mengisi slot janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

“Bagi orang awam yang tidak termasuk dalam kriteria yang layak imunisasi influenza di bawah Program ini, mereka boleh mendapatkannya di klinik swasta atau hospital swasta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan