AM > BERITA

Anwar Rai Presiden Maldives, Saksi Pertukaran MoU Perkukuh Hubungan

28/04/2025 01:33 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu di Seri Perdana di sini.

Muizzu dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi empat hari, tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.25 pagi.

Ketibaan Muizzu dan delegasinya disambut meriah dengan sorakan ‘Selamat datang ke Malaysia’ oleh 70 murid Sekolah Kebangsaan Presint 9(2).

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Terdahulu, satu pertemuan dua hala telah diadakan bagi menilai semula kemajuan hubungan antara Malaysia dan Maldives, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) berkaitan pelancongan, kerjasama sukan dan kesihatan.

Anwar dan Muizzu dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Maldives-Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan 4.3 peratus dengan jumlah RM862.7 juta (US$180.9 juta) berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan