AM > BERITA

Agong Zahir Ucapan Selamat Hari TLDM Ke-91

27/04/2025 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 kepada seluruh warga TLDM, veteran serta mereka yang pernah berbakti dalam angkatan itu.

Dalam hantaran di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, bakti dan pergorbanan dicurahkan seluruh warga dan veteran TLDM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda. 

Sempena sambutan yang bertemakan “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara”, Seri Paduka Baginda turut mendoakan TLDM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani di pentas antarabangsa. 

Sambutan Hari TLDM ke-91 diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain sebelum ini memaklumkan sambutan itu diadakan secara sederhana bagi menghormati tragedi tahun lepas melibatkan dua helikopter milik TLDM bertembung ketika raptai persembahan mengakibatkan 10 warganya maut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan