AM > BERITA

Pembinaan Rumah Guru SMK Agama Igan Siap Setahun Lebih Awal - Nanta

25/04/2025 06:48 PM

MUKAH, 25 April (Bernama) -- Projek pembinaan rumah guru dan beberapa kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan, dekat sini berjaya disiapkan 30 Dis lepas, setahun lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini merupakan bukti kecekapan dan komitmen tinggi pasukan pelaksana serta kontraktor tempatan dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan MADANI.

“Kita mahu projek siap lebih awal daripada jadual dan bukannya dilanjutkan masa,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Tambahan 17 Unit Rumah Guru dan Lain-Lain Kemudahan di sekolah berkenaan, hari ini.

Projek bernilai RM16.39 juta itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Pasukan Projek Khas 2 (PPK2).

Pembinaan kemudahan berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.

Skop kerja projek meliputi pembinaan 17 unit Rumah Guru Kelas F, sistem bekalan air dan saliran, perkhidmatan elektrik dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), tempat letak kereta berbumbung dan terbuka serta prasarana luar bangunan dan kemudahan sokongan lain.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Agama Igan sebagai sokongan terhadap pembangunan komuniti sekolah.

“Semoga kemudahan dan sumbangan ini dapat memberi keselesaan kepada warga pendidik serta menyumbang kepada suasana pembelajaran yang lebih kondusif untuk anak-anak Sarawak,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan