AM > BERITA

Rapid Penang On-Demand Tambah Tiga Zon Baharu Mulai 26 April

24/04/2025 05:30 PM

GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) memperluas jaringan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand dengan penambahan tiga zon baharu bermula 26 April ini.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga zon tersebut melibatkan kawasan pusat bandar George Town serta kawasan berpenduduk padat di Jelutong dan Bayan Lepas. 

"Perkhidmatan ini akan menghubungkan penumpang dari kawasan yang mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan bas sedia ada menerusi penyelesaian batuan pertama dan batuan terakhir melalui sambungan ke perkhidmatan bas Rapid Penang sedia ada atau secara terus ke destinasi pilihan penumpang. 

"Pelaksanaan tiga zon baharu Rapid Penang On-Demand ini dijangka dapat menggalakkan lebih ramai orang beralih kepada pengangkutan awam berbanding penggunaan kenderaan persendirian," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Ku Jamil Zakaria dalam kenyataan sama berkata 14 van akan digunakan bagi pengoperasian di tiga zon terbabit dan pihaknya akan menambah 21 van secara berperingkat Jun ini bagi menyokong pelaksanaan fasa seterusnya.

"Sebagai langkah penambahbaikan, Rapid Bus akan menggabungkan pengoperasian Rapid Penang On-Demand di zon Paya Terubong dan Farlim bermula Mei ini, yang dijangka dapat meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan Rapid Penang On-Demand dan bas Rapid Penang sedia ada," katanya.

Beliau memaklumkan perkhidmatan tersebut bermula dengan hanya dua van di zon Farlim dan mencatatkan kadar purata 120 penumpang sehari namun dengan peluasan ke tiga zon baharu iaitu Gurney, Sunway dan Paya Terubong, van yang digunakan telah meningkat kepada 17. 

Katanya dengan penambahan itu, perkhidmatan Rapid Penang On-Demand terus menerima sambutan yang memberangsangkan dengan kadar purata penumpang harian terkini mencecah 753 orang.

Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 11 malam dengan penumpang menikmati promosi tambang RM1 untuk setiap perjalanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan