PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawal selia produk rokok elektronik dan vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan menerusi akta berkenaan adalah bagi melindungi orang belum dewasa (OBD) daripada terjebak dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.
“Saya tekankan, produk rokok dan vape adalah dikawal secara rapi Akta 852 demi kesihatan awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan di sini hari ini.
Dzulkefly berkata beliau bersikap terbuka dan bersedia menyemak semula akta berkaitan rokok dan vape sekiranya terdapat keperluan atau bukti tertentu mengenainya.
“Undang-undang tidak pernah statik, undang-undang sedang hidup dan ia dinamik, ia selalu responsif,” katanya.
Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Oktober 2024 diperkenalkan untuk memperkukuhkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan, dan promosi semua produk-produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape di Malaysia.
Ia khusus bagi OBD yang berumur kurang 18 tahun, mereka adalah dilarang terlibat dengan aktiviti penjualan, pembelian dan penggunaan apa-apa jenis produk merokok melalui apa-apa cara.
Mengenai gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan vape, beliau berkata perkara berkenaan adalah dibawah bidang kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial