AM > BERITA

Sidang Khas Dewan Rakyat 5 Mei Diadakan Atas Permintaan PM - Parlimen

24/04/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Sidang khas Dewan Rakyat pada 5 Mei ini bagi membincangkan kesan tindakan Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi Malaysia diadakan atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parlimen Malaysia memaklumkan urusan mesyuarat khas itu diadakan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat dibincangkan.

Ia akan melibatkan penerangan daripada menteri-menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan tindakan AS mengenakan tarif timbal balas ke atas semua import ke negara itu, kesannya terhadap ekonomi Malaysia, dan tindak balas kerajaan merentasi pelbagai kementerian dan sektor.

Hal ini termasuk penyelarasan penyelesaian jangka pendek dan sederhana, semakan semula dasar-dasar industri tertentu, dan perancangan jangka panjang ekonomi negara dalam menghadapi impak perang perdagangan antarabangsa.

“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut membenarkan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa sesi penerangan berlangsung,” menurut Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Parlimen Malaysia memaklumkan sidang itu juga dijangka memberi ruang kepada perbahasan yang konstruktif serta penyampaian maklumat yang telus kepada rakyat berkaitan langkah kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi global semasa.

Siaran langsung sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pada 11 pagi itu boleh diikuti menerusi saluran YouTube rasmi Parlimen Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan