PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata seramai 355,933 calon atau 94 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2024 berbanding 349,297 calon pada 2023.
"Angka ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus. Peningkatan ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada 2013 diperkenalkan dengan calon wajib lulus dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Azman berkata analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 menunjukkan peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti.
"Ini selari dengan komitmen KPM untuk memastikan kesamarataan peluang pendidikan kepada semua calon di seluruh negara," katanya.
Azman berkata daripada keseluruhan 402,918 calon berdaftar dalam peperiksaan SPM 2024, seramai 386,714 calon merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
"Daripada jumlah berkenaan, 344,919 adalah calon sekolah KPM dengan 338,673 calon telah hadir. Sebanyak 6,246 calon tidak hadir berbanding 8,676 calon pada 2023.
"Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 2,430 calon yang menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan oleh KPM," katanya.
Azman berkata bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat 0.6 peratus daripada 11,713 calon pada 2023 kepada 14,179 calon pada 2024.
"Bilangan yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 86,040 calon pada 2024 berbanding 83,112 pada 2023.
"Sebanyak 136,791 calon pula telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada 2024 berbanding 131,489 pada 2023," katanya.
Azman berkata pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
"Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.11 mata iaitu 4.47 mata pada 2024 berbanding 4.58 mata pada 2023.
"Pencapaian calon di luar bandar juga meningkat sebanyak 0.09 mata iaitu 4.92 mata pada 2024 berbanding 5.01 mata pada 2023," katanya.
Menyentuh prestasi mata pelajaran, Azman berkata sebanyak 59 daripada 95 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi, 30 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi manakala satu mata pelajaran mengekalkan prestasinya berbanding peperiksaan SPM 2023 berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
"Dalam peperiksaan SPM 2024, enam mata pelajaran daripada tujuh mata pelajaran teras menunjukkan peningkatan prestasi manakala mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.07 mata GPMP iaitu 4.73 mata pada 2024 berbanding 4.66 mata pada 2023," katanya.
Susulan penurunan prestasi dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Azman berkata KPM akan mengusahakan langkah intervensi termasuk menambah baik kandungan mata pelajaran itu bagi memastikan prestasi bertambah baik.
Beliau berkata bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Tulen dan Matematik Tambahan, semua mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi.
"Kimia telah mencatatkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.37 mata GPMP, iaitu 4.52 mata pada 2024 berbanding 4.89 mata pada 2023.
"Mata pelajaran elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi) pula, sebanyak 11 daripada 12 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi," katanya.
Bagi mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan pula menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP, iaitu 3.97 mata pada 2024 berbanding 4.35 mata pada 2023.
Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Mekanikal pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.16 mata GPMP, iaitu 4.39 mata pada 2024 berbanding 4.23 mata pada 2023.
"Daripada 22 mata pelajaran elektif STEM (Mata Pelajaran Vokasional), 17 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi manakala lima mata pelajaran lagi menunjukkan penurunan prestasi," katanya.
Azman berkata lima daripada 12 mata pelajaran elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas telah menunjukkan peningkatan prestasi manakala tujuh mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial