AM > BERITA

Finas Adakan Sesi Libat Urus Bincang Perkukuh Industri Kreatif Negara

22/04/2025 06:04 PM

PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) hari ini mengadakan sesi libat urus industri kreatif bagi memberi ruang kepada perbincangan terbuka berkaitan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penganjuran sesi itu adalah bagi mendapatkan maklum balas pihak industri dalam usaha kementerian membawa pindaan akta berkenaan agar selari dengan perubahan zaman pada masa kini.

“Ini memandangkan banyak perubahan ini melibatkan proses penggambaran yang tidak lagi melibatkan filem dan perubahan juga melibatkan pempamer kerana kalau dulu, ramai pergi ke pawagam tetapi hari ini ada format berbeza dan ramai juga melibatkan diri dalam penggambaran melibatkan kandungan dimasukkan dalam media sosial.

“Jadi kita ingin mencerminkan tatakelola, urus tadbir, aspek kawal selia FINAS yang lebih baik serta mantap selain mengambil kesempatan ini untuk mendepani zaman kerana kita tahu ramai tonton di pawagam dan telefon bimbit, jadi ini memerlukan penambahbaikan kepada akta selain kita akan teruskan lagi libat urus ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya FINAS di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman serta Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak Roslan Ariffin. 

Terdahulu dalam ucapan sempena majlis itu, Fahmi berkata pindaan Akta 244 bertujuan menyelaraskan kandungan dalam peruntukan akta berkenaan dengan arus teknologi semasa terutama kemunculan dan kepesatan platform Over-The-Top (OTT) serta penstriman digital yang semakin mendominasi cara pengguna menikmati kandungan filem dan media.

Beliau berkata pindaan itu akan memberi tumpuan kepada tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia, pengukuhan tadbir urus serta pemantapan fungsi FINAS agar kekal relevan dan efektif.

“Dengan pindaan ini, peranan dan hak pemain industri akan lebih jelas diiktiraf dan pengiktirafan rasmi terhadap platform digital sebagai sebahagian daripada landskap penyiaran moden akan dimasukkan dalam rangka kerja pengawalseliaan,” katanya yang menyasarkan pindaan itu dibentang di Parliman seawal Julai ini atau selewat-lewatnya pada akhir tahun 2025. 

Fahmi berkata pindaan itu bakal menjadi asas yang kukuh untuk industri kreatif negara bergerak ke hadapan dengan lebih progresif dan tersusun.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mendakwa beberapa keputusan mengejutkan dalam pemilihan PKR menunjukkan berlakunya ‘revolusi demokrasi’ dalam parti berkenaan, Fahmi berkata itu merupakan pandangan peribadi beliau sahaja. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan