AM > BERITA

Institusi Perpustakaan Perlu Ditonjolkan Sebagai Pemangkin Kemajuan Negara - Aaron Ago

22/04/2025 02:49 PM

SUNGAI PETANI, 22 April (Bernama) -- Institusi perpustakaan perlu lebih menyerlah dan menonjolkan kepentingannya sebagai pemangkin kepada kemajuan ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan kebudayaan negara.

Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata perpustakaan sebagai gedung ilmu mempunyai peranan yang amat signifikan dalam membangunkan sesebuah negara.

“Kini terdapat 1,076 perpustakaan desa yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya.

Aaron Ago berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 dan Baucar Buku Semarak Membaca 2025 yang diadakan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 506 perpustakaan di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), manakala 570 lagi di bawah negeri.

“Ini tidak termasuk perpustakaan universiti, perpustakaan awam negeri, perpustakaan di agensi kerajaan dan termasuklah pusat sumber sekolah yang keseluruhannya berjumlah 13,674 buah," katanya.

Aaron Ago berkata budaya membaca perlu dijadikan sebagai satu gaya hidup dalam kalangan rakyat kerana ia adalah langkah pertama kepada segala kemajuan dan menjadikan manusia lebih berdaya maju serta matang dari segi pemikiran.

Beliau berkata kemajuan negara dan ketamadunan bangsa dapat dikembangkan serta dipertingkatkan jika bangsa itu berfikiran tinggi yang lahir daripada amalan membaca.  

“Selari dengan matlamat itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi PNM telah melaksanakan 48,686 program galakan membaca pada 2024.   

“Sebagai satu usaha berterusan untuk menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, Kerajaan MADANI menerusi KPN menganjurkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2025 dan Baucar Buku Semarak Membaca sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia,” katanya.

Beliau berkata program itu mampu menyemarakkan kembali usaha membaca, sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan