AM > BERITA

Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 Di Axiata Arena

22/04/2025 12:37 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa” itu, yang menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung.

“Program (sambutan) akan bermula 28 April menerusi penganjuran Karnival Hari Pekerja, melibatkan pelbagai acara termasuk karnival serta pameran kerjaya, latihan kemahiran dan sebagainya,” katanya. 

Sim berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Prapelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Beliau menjemput orang ramai memeriahkan sambutan bermula 28 April, dengan antara program dijangka menarik perhatian ialah Karnival Kerjaya Mega yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan termasuk sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Selain itu, turut diadakan ialah tawaran diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus.

Ditanya kemungkinan terdapat sebarang pengumuman penting pada sambutan itu, Sim berkata beliau dan Perdana Menteri dijadualkan menyentuh beberapa perkara pada hari tersebut.

Sementara itu, KESUMA dalam kenyataan memaklumkan kementerian akan melancarkan secara rasmi aplikasi MYFutureJobs: Langkah Progresif Perkasa Pencari Kerja versi mudah alih, pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025.

Aplikasi itu diperkenalkan sebagai inisiatif penting ke arah pendigitalan sistem buruh negara dan bakal menjadi medium utama memperkasakan pencari kerja dengan dilengkapi padanan pekerjaan lebih pantas dan efisien, notifikasi segera peluang pekerjaan serta reka bentuk mesra pengguna.

“Pelancaran ini merupakan satu langkah strategik dan progresif dalam menyokong ekosistem pekerjaan digital lebih inklusif, responsif dan mampan selaras dengan hasrat Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan