PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Malaysia catat kemajuan terbaharu dalam penyelidikan klinikal tahun lepas dengan 267 penyelidikan baharu dimulakan pada tahun 2024, menurut Laporan Tahunan Penyelidikan Clinical Research Malaysia (CRM) 2024, yang dilancarkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini.
Pencapaian itu menjadikan jumlah keseluruhan kajian penyelidikan klinikal dijalankan di Malaysia melebihi 2,500, sejak penubuhan CRM pada tahun 2012.
CRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Malaysia turut mencatatkan momentum yang ketara dalam penyelidikan fasa awal, dengan lima kajian First-in-Human (FIH) diluluskan, iaitu angka tertinggi dalam satu tahun sejak pelancaran Projek Realisasi Fasa 1 CRM pada tahun 2016.
“Kajian fasa awal ini telah dijalankan di Hospital Umum Sarawak, sebuah pusat yang telah diakreditasikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Pencapaian ini mencerminkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dan rekod prestasi yang kukuh dalam menjalankan penyelidikan klinikal bertaraf antarabangsa dengan kepantasan, mutu dan kebolehpercayaan,” menurut kenyataan CRM.
Selaras dengan Wawasan 2033 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan penyelidikan klinikal serantau, CRM terus menerajui pelbagai misi strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan pertumbuhan ekosistem penyelidikan.
Antara inisiatif utama ialah Pusat Kecemerlangan (CoE) CRM, telah melahirkan 30 pelatih siswazah dengan latihan asas dalam bidang penyelidikan klinikal.
Selain itu, CRM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menerajui inisiatif di peringkat ASEAN untuk memperkasakan penyelidikan klinikal, sekali gus meletakkan Asia Tenggara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan penyelidikan global.
“Kebanyakan agenda ini juga akan diketengahkan dan dibincangkan semasa CRM Trial Connect 2025, satu persidangan antarabangsa tahunan yang akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 1,000 pihak berkepentingan dalam penyelidikan klinikal di Kuala Lumpur pada bulan Mei ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial