AM > BERITA

UUM Tubuh Dua Jawatankuasa Susulan Insiden Kemalangan Babitkan Bas Dalam Kampusnya

21/04/2025 05:37 PM

ALOR SETAR, 21 April (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan dua jawatankuasa khas susulan insiden kemalangan melibatkan dua bas dalam kampusnya sehingga mengorban nyawa seorang pelajar Sabtu lepas.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata ia bertujuan menyiasat insiden berkenaan dan menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas kitaran kampus.

“Jawatankuasa Siasatan Kemalangan bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian bagi memastikan segala aspek berkaitan keselamatan dan prosedur operasi standard dipatuhi.

“Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus pula bertanggungjawab bagi menilai semula tahap kecekapan, pematuhan peraturan, integriti serta keberkesanan pengurusan perkhidmatan pengangkutan dalam kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam insiden Sabtu lepas Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, pelajar Semester 4, Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian, cedera selepas dihimpit bas ketika sedang menunggu giliran untuk menaiki bas di kampus universiti itu di Sintok, dan disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Mohd Foad berkata UUM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.

“UUM berkongsi kesedihan yang amat mendalam dengan keluarga Muhamad Karim. Kehilangan seorang pelajar yang sedang meniti kejayaan adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada universiti dan negara,” katanya.

Beliau menambah UUM juga telah mengambil tindakan membantu keluarga Allahyarhamah dalam proses penghantaran dan mengurus jenazah serta memberi bantuan dalam bentuk pampasan insurans, bantuan khairat dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan