AM > BERITA

Kedah Diminta Beri Perhatian Serius Kelewatan Projek LRA Bukit Selambau

21/04/2025 02:26 PM

ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah diminta memberikan perhatian serius terhadap situasi di tapak projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau, dekat Sungai Petani yang ketika ini menghadapi masalah kelewatan.

Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) berkata kerajaan negeri perlu memastikan kontraktor yang dilantik dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata ketika ini, lanjutan masa (EOT) ketiga telah diberikan kepada pihak kontraktor dan tempoh berkenaan akan berakhir pada 16 Nov 2025.

“Untuk makluman, saya ada mengiringi Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir melawat tapak pembinaan LRA Bukit Selambau pada minggu lepas. Saya bukanlah hendak menunding jari kepada mana-mana pihak, tetapi menyarankan untuk membantu menyelesaikan masalah secara bersama-sama.

“Saranan saya, kerajaan perlu memberikan khidmat nasihat dan memantau kerja-kerja kontraktor berkenaan secara berkala supaya mereka dapat memperbaik kelemahan sedia ada di tapak pembinaan,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Bau Wong yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah turut melahirkan rasa khuatir terhadap tempoh siap projek itu memandangkan komponen utama projek, iaitu pam belum dibeli dan difahamkan proses mendapatkan komponen itu akan mengambil masa hingga enam bulan.

Sehubungan dengan hal itu, beliau menyarankan kerajaan negeri menyediakan pelan alternatif bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan demi kepentingan rakyat Kedah.

Dalam pada itu, Bau Wong turut menggesa kerajaan negeri supaya mengintegrasikan kempen pendidikan kewangan dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan mereka terjerat dalam sistem "Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL).

“BNPL boleh menjadi satu perangkap kewangan yang berisiko kepada pengguna dan kestabilan ekonomi, menjadi tanggungjawab kita bersama-sama untuk menangani masalah ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan