AM > BERITA

Sultan Kedah Mahu Kerajaan Negeri Tingkatkan Hasil

20/04/2025 01:39 PM

ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kerajaan Kedah meningkatkan hasil pendapatan negeri bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Baginda turut menegaskan agar semua pihak yang terlibat memastikan ketirisan hasil dapat diminimumkan kerana ia memberi kesan kerugian kepada pendapatan kerajaan negeri.       

"Tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan," titah Tuanku Sultan.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Baginda turut menyarankan agar kawasan perindustrian sedia ada diperkasakan selain meneroka kawasan baharu yang berpotensi untuk dimajukan.

"Dalam hal ini, kerajaan beta disarankan untuk merancang kawasan perindustrian baharu, khususnya di daerah Bandar Baharu dengan mengambil peluang dan manfaat daripada limpahan pembangunan kawasan industri baharu di negeri yang bersempadan dengan negeri Kedah," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, mengambil kira konsep penawaran dan permintaan, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap.

Menurut baginda, sekiranya ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, lebih ramai pelabur akan berminat untuk melabur di Kedah.

"Kedudukan Kedah yang berjiran dengan Thailand juga wajar dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan rentas sempadan khususnya sebagai hub logistik dan industri.

"Beta berharap kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan dapat mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif untuk menarik pelabur ke Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan kerajaan negeri supaya sentiasa peka dan proaktif dalam meneliti serta menyemak dasar dan peraturan agar kekal relevan dengan keperluan semasa demi kepentingan negeri, khususnya perkara yang melibatkan hak seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026, baginda menggesa agar produk pelancongan sama ada di tanah besar atau di Langkawi ditambah baik dan dinaik taraf, selain mengenal pasti produk baharu yang berpotensi untuk diketengahkan.

"Jaringan perhubungan dan pengangkutan juga haruslah diperkasakan terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi," titah baginda.

Tuanku turut menyarankan agar tamadun Kedah Tua ditonjolkan sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai peradaban tinggi, khususnya dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa, sehingga menyumbang kepada kegemilangan warisan bertunjangkan Islam.

Sebelum menamatkan titah, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Anggota RELA, barisan petugas kesihatan serta seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan penjawat awam negeri dan Persekutuan atas komitmen yang diberikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan