AM > BERITA

Jangan Aniaya Sesama Islam, Tawar Pakej Haji Palsu - Sultan Selangor

20/04/2025 01:20 PM

SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam tidak menganiaya sesama mereka dengan menawarkan pakej haji palsu semata-mata untuk mengaut keuntungan. 

Sultan Sharafuddin bertitah kerajaan memandang serius kes seumpama itu selain Islam sendiri melarang umatnya menipu dan dosa mereka yang terlibat dalam kegiatan itu akan dibalas Allah SWT. 

Baginda bertitah orang ramai juga sepatutnya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dan bukan agensi yang tidak diketahui latar belakangnya hingga berlaku penipuan sekali gus menggagalkan hasrat jemaah untuk menunaikan ibadah berkenaan. 

"Beta berharap pada masa akan datang tiada lagi kes jemaah haji yang ditipu oleh ejen yang tidak bertauliah," titah baginda pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446H di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan jemaah Selangor menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah ketika berada di Tanah Suci dan mengelak daripada terlibat dengan sebarang bantahan atau demonstrasi selain patuh kepada arahan petugas TH di sana. 

"Beta dimaklumkan bahawa setakat ini jemaah haji Malaysia termasuk jemaah haji dari Selangor adalah antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.  

"Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan terus mengekalkan disiplin diri semasa berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik Selangor dan Malaysia," titah baginda. 

Sultan Selangor juga bertitah para jemaah hendaklah menjaga kesihatan memandangkan ibadah haji memerlukan pergerakan fizikal yang banyak dan segera mendapatkan rawatan jika ada masalah kesihatan bagi mengelakkan ibadah mereka terjejas. 

"Beta juga berkenan untuk menasihati para jemaah haji sekalian mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi supaya kita sentiasa berada dalam keadaan aman sejahtera dan terhindar daripada sebarang masalah," titah baginda. 

Pada majlis berkenaan Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan cenderamata berupa barangan kelengkapan haji kepada wakil setiap daerah di Selangor.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan