GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH yang dilancarkan di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, dilihat dapat memperkukuh kapasiti digital golongan rentan dalam kalangan belia.
Program anjuran MCMC dengan kerjasama Microsoft Malaysia dan USM itu ialah satu program Pengajian dan Persijilan (P&P) dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang dirangka khas untuk meningkatkan literasi serta kemahiran AI dalam kalangan mahasiswa.
“Melalui pendedahan kepada topik seperti pengenalan kepada AI, AI generatif, penggunaan AI untuk peningkatan kebolehpasaran diri dan penggunaan AI secara beretika, pelajar dibimbing menjadi graduan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berdaya saing dalam era ekonomi digital.
“Program MCMC Microsoft AI TEACH menyasarkan 150 pelajar penerima inisiatif Siswa Sulung di USM,” menurut kenyataan MCMC hari ini.
Terdahulu, program berkenaan dirasmikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM Profesor Dr. Habibah A. Wahab di Kompleks Cahaya Siswa USM yang turut dihadiri Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC Muhammad Razali Anuar dan Pengarah Negeri MCMC Pulau Pinang Mohd Fitri Hashim.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen kukuh MCMC dan Microsoft Malaysia untuk membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif dan sebahagian daripada usaha berterusan dalam merapatkan jurang digital.
MCMC memaklumkan ia juga memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang menyertai serta menyumbang dalam ekonomi berasaskan AI dan teknologi masa depan.
Siswa Sulung, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dibangunkan khas untuk menyokong pelajar generasi pertama dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bermatlamat memutuskan rantaian kemiskinan melalui kuasa pendidikan dan kemahiran masa hadapan.
Pemilihan pelajar dibuat secara teliti berdasarkan beberapa kriteria seperti pendapatan isi rumah dalam kategori B40, latar belakang sosioekonomi dan kemampuan pemilikan aset oleh ibu bapa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial