AM > BERITA

Setiap Jabatan Disaran Kaji Semula Peraturan Lama - Azam Baki

17/04/2025 04:32 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Setiap jabatan kerajaan disarankan mengkaji semula undang-undang serta peraturan lama dan lapuk untuk dibuat pindaan atau perubahan bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata reformasi undang-undang merupakan antara agenda yang harus diambil perhatian serius bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat kepada agensi kerajaan. 

“Sebarang prosedur operasi standard (SOP) lama dan tidak jelas perlu ditambah baik atau dipinda bagi menepati situasi semasa tuntutan masyarakat dan semua pihak berkepentingan berkaitan,” katanya pada Seminar Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) 2025 di sini hari ini.

Azam berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan dihadiri kira-kira 200 petugas JWP.

Azam berkata setiap jabatan kerajaan termasuk SPRM perlu mempunyai sistem yang jelas, terutamanya berkaitan dengan orang awam selain setiap hal ehwal pengurusan pejabat, barisan hadapan dan pengurusan perolehan perlu memiliki sistem kerja bersifat jelas, telus dan berintegriti. 

"Sebagai contoh dalam urusan penguatkuasaan, pemantauan secara berterusan terhadap setiap warga kerja seperti pemantauan gaya hidup mewah hendaklah dilaksanakan ketua jabatan.

"Apabila sesuatu insiden berlaku selalu, kerajaan dipersalah, tetapi harus diingat, ada agensi kerajaan tiada pemantauan dan sistem pengurusan yang baik, menyebabkan berlaku persepsi imej kerajaan sebagai tidak baik,” katanya. 

Azam juga berkata maklum balas kepada media harus dilaksanakan dengan pantas dan tepat supaya maklumat yang betul sampai kepada masyarakat.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman menangani kes saksi meninggal dunia iaitu Teoh Beng Hock, pengurusan media SPRM pada waktu itu agak kurang pengalaman dan cekap sehingga maklumat tepat tidak sampai kepada audiens walaupun pada peringkat dalaman sendiri.

“Daripada kesilapan, kami belajar bagaimana memberi respons kepada media. Apa yang paling penting ialah masyarakat diberi maklumat dan kefahaman jelas terhadap sesuatu isu,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya mahu JWP mengkaji keperluan menubuhkan pasukan pemacu tadbir urus dan integriti untuk ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. 

Pada masa sama, beliau berkata semua bahagian dan agensi perlu membuat audit kendiri terhadap SOP dan proses kerja sedia ada untuk mencari ruang penambahbaikan secara berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan