PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Dasar luar Malaysia dan China dibentuk oleh visi yang jelas terhadap kepentingan kedua-dua negara selain Kepaksian ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru itu, Anwar berkata Malaysia akan kekal sebagai rakan yang setia dan berprinsip kepada China, berpandukan kebijaksanaan daripada segi sejarah serta janji untuk berkongsi masa depan antara kedua-dua negara.
“... China telah menjadi rakan kongsi yang rasional, kuat dan boleh dipercayai. Malaysia amat menghargai konsistensi ini.
“Semoga silaturahim antara Malaysia dan China berkekalan,” kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam di Kompleks Seri Perdana di sini sempena lawatan rasmi Presiden Xi Jinping ke negara ini.
Anwar juga berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, berharap China akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang julung kali diadakan pada Mei ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata silaturahim antara Malaysia dan China yang kekal utuh serta teguh diperbaharui melalui dialog dan ditegaskan menerusi tindakan demi keamanan serta kemakmuran kedua-dua negara.
“Malaysia dan China sudah lama berganding bahu dalam detik-detik ketika kedua-dua negara menggapai kejayaan serta mengharungi tempoh yang sukar, bukan sekadar menjadi rakan strategik sebaliknya adalah rakan karib.
“Lawatan ini adalah sebagai pengesahan kepada hubungan antara kedua-dua negara yang berlandaskan rasa saling menghormati dan diperkaya oleh sejarah selain dikekalkan oleh tujuan yang sama,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata inisiatif global China menawarkan harapan baharu ketika multilateralisme berada di bawah tekanan yang begitu hebat.
“Ketika sesetengah negara meninggalkan prinsip tanggungjawab bersama manakala yang lain mempersoalkan komitmen lama, inisiatif global China membawa harapan baharu. Mereka melihat ke luar buna ke dalam. Mereka berbicara bukan tentang persaingan sebaliknya tentang pembaharuan.
“Di bawah kepemimpinan anda, Tuan President Xi, China terus menjelmakan kesemua nilai ini, mantap dan tegas, tidak mengalah meskipun berdepan ribut kencang dan layanan yang tidak munasabah,” katanya.
Xi mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia yang bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas berkunjung ke negara ini pada 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial